Monday, November 30, 2009

pecah

perpecahan dalam sejarah perjuangan Islam bukan perkara baru, meneroka dan menerjah kembali sejarah akan menemukan kita dengan kisah-kisah perit pertembungan sesama mereka yang mengaku memperjuangkan agama. para sahabat selepas kewafatan rasulullah juga tidak terlepas dari perbezaan dan pembentukan puak-puak berdasarkan aliran pemikiran. lihat sahaja pertentangan idea di antara abu bakar dan umar, antara ali dan muayiwah, othman dan sebilangan besar sahabat-sahabat. namun apa yang kita yakini perbezaan pandangan dan idea mereka adalah berasaskan ilmu, walaupun tidak dinafikan sebagai manusia biasa sudah pastinya ada kelemahan yang membawa kepada penentangan dari pihak-pihak lain.
sejarah juga menukilkan betapa khilafah Islam menemui ajal akibat perpecahan dan permusuhan sesama mereka. kehancuran khilafah muawiyah, abbasiah, fatimiyah, dan juga uthmaniah banyak disebabkan oleh perpecahan dalaman dan faktor kekuatan musuh amat sedikit menjadi akibat keruntuhan empayar Islam.
didalam gerakan Islam pasca khilafah, perpecahan dan perbedaan pendekatan juga menular di dalam jemaah, ikhwanul muslimin, jamiat Islami, parti refah dahulunya milli salamet, nahdatul ulama ataupun muhammadiyah adalah gerakan-gerakan Islam yang terpaksa melalui proses pemurnian dan pembersihan dalaman. tidak sedikit pimpinan tertinggi mahupun ahli yang tidak melepasi tanzim ini, malahan ada yang membawa diri dan terus berdiri di pihak yang pernah mereka musuhi ketika di dalam jemaah dahulu.
Parti Islam Semalaysia (PAS), sebegai sebuah gerakan Islam tidak terlepas dari melalui proses saringan ini. Malahan sejarah menukilkan betapa pimpinan yang mengasaskan pas sendiri hanyut di dalam proses ini. presiden pas, timbalan presiden, ketua dewan ulama', ketua pemuda pusat hanyalah sebahagian dari sejarah yang perit itu.
Tetapi denyut nadi perjuangan Islam di dalam pas tidak mati dengan gugurnya nama-nama besar itu, malahan semakin laju dan berdegup kencang bagai genderang mahu perang. proses ini telah berjaya mematangkan pas sehingga mampu bangkit dari kekecewaan demi kekecewaan dalam pilihanraya untuk menjadi parti yang mengetuai 3 buah negeri. malahan pas hampir mempunyai kekuatan yang sama dengan bn yang ditunjangi oleh komponen kerajaan.
kemenangan yang diperolehi di dalam pilihanraya ke-12 rupa-rupanya adalah ujian dari Allah untuk sekali lagi memproses isi kandungan jemaah ini. bahtera yang tenang belayar di lautan dalam, rupa-rupanya telah reput dimamah usia dibahagian terasnya. anak-anak kapal yang dahulu sanggup bersusah payah bermandi keringat dan darah demi agama, terkesima melihat orang atasan kapal sibuk membina kapal baharu dari kekayaan yang mula bertimbun. tidak kurang juga khabar angin yang bertiup ada yang mahu meminta bantuan dari kapal lanun atas dasar persaudaraan laut dan dari daratan yang sama.
mujurlah nakhodanya terus teguh dan tegap di huluan kapal, memacu bahtera walaupun kelam di hadapan semakin hitam, ombak membadai menggulung ganas, angin dan air bercampur menjadi pembunuh yang kejam. tuan guru nik aziz terus kukuh mempertahankan kapal yang terbina atas dasar aqidah dan tidak sama sekali terpalit dengan agenda bangsa mahupun suku.
kalau sejarah boleh berbicara pastinya sudah lama ia berbisik pada telinga kita, betapa ia akan datang kembali. kalau dulu bahana dan gelombang proses pembersihan ini menghanyutkan kepimpinan tertinggi pas, tiada apa yang mustahil kali ini proses itu akan berulang.
kalau akidah islamiyah yang menjadi tiang seri perjuangan ini dikompromikan dengan anutan nasionalisme dan kebangsaan, maka tunggulah saatnya kehancurang datang menimpa. sebelum kehancuran itu tiba, pembuat onar dan makar walau apa pun jawatan dan kedudukannya harus melalui proses pembersihan. kalau mereka lulus, kita akan angkat mereka jauh lebih tinggi dari sebelumnya, tapi kalau mereka gagal, maka perjuangan ini tidak pernah mengenal erti belas pada munafik dalam perjuangan.
kalau gelombang kali ini terus membadai dan menghempas bahtera sehingga retak dua, tiga, lima atau seribu, maka itulah lumrah yang harus diterima. persoalannya ke mana hala tuju anak-anak kapal yang setia dengan bai'ah untuk terus bersama Islam. mahu bersama dengan kapal lanun yang mewah dan gagah bersama-sama sebahagian bekas atasan , dan terus melaungkan perjuangan agama walaupun pada bahtera lanun yang noda, atau terus berpaut pada pecahan-pecahan kapal dengan doa agar daratan datang memanggil, agar bisa membina bahtera baru atas dasar yang dibai'ah bersama.

Monday, November 9, 2009

Persepsi

Ada 2 jenama biskut coklat yang berbeza, kedua-duanya mengatakan jenama mereka adalah biskut coklat yang asli dan terbaik. Mereka juga mendakwa bahawa jenama yang satu lagi adalah jenama tiruan dan mungkin berbahaya kepada kesihatan jika dimakan.


Jenama biskut coklat yang pertama adalah jenama yang sekian lama menjadi pilihan pengguna. Dengan melabur sekian banyak wang bagi tujuan pengiklanan, promosi dan juga rangkaian pemasaran yang luas, jenama biskut coklat mereka agak sukar digugat oleh jenama lain. Walaubagaimanapun , baru-baru ini satu kajian yang dilakukan oleh sekumpulan pakar pemakanan dari sebuah institut kesihatan mendapati bahan-bahan yang digunakan oleh jenama ini tidak mendapat kelulusan dari Kementerian Kesihatan. Malahan dikhuatiri bahan yang digunakan diragui status halalnya. Ini telah menyebabkan penjualan produk mereka merudum dengan drastik malahan beberapa kilang mereka di beberapa buah negeri terpaksa ditutup. Untuk lebih mudah kita panggil jenama coklat ini sebagai 1Malaysia Chocolate Biscuits atau ringkasnya 1MCB.


Jenama yang satu lagi adalah pesaing kepada 1MCB sejak sekian lama. Mereka juga mendakwa biskut coklat mereka adalah yang terbaik, asli dan dibuat dari bahan-bahan yang tidak berbahaya serta dijamin status halalnya. Ini disokong oleh kakitangan dan pekerja mahir dalam bidang koko, nutrisi makanan, panel syariah dalam bidang makanan dan juga pekerja-pekerja bawahan yang komited. Walaubagaimanapun jenama ini sukar untuk menembusi pasaran utama kerana kekurangan promosi serta rangkaian pemasaran yang agak terhad. Mereka menamakan jenama biskut coklat mereka Biskut Coklat Kebajikan : Satu Ummah, Satu biskut Coklat. ( BCK).


Menyedari saingan yang semakit hebat dari jenama BCK, 1MCB telah melancarkan projek penjenamaan semula atau re-branding bagi produk mereka. Mereka telah mengeluarkan sejumlah besar peruntukan untuk membaiki imej mereka dengan melancarkan pek bungkusan baru yang lebih mesra pengguna, kerjasama dengan badan-badan kebajikan dengan menaja program-program mereka, memberi peruntukan kepada NGO-NGO kepenggunaan dan bersifat Islamik , disamping iklan dan promosi yang lebih agresif dan mensasar kepada semua golongan. Kajian terbaru yang dijalankan menunjukkan indeks kepercayaan pengguna kepada 1MCB melonjak dan hampir menyamai rekod jualan sebelum isu berkenaan kandungan produk mereka terbongkar.

Menyedari tentang pentingnya makanan halal kepada pembinaan insan, beberapa cendikiawan muslim telah mengeluarkan kritikan kepada pengurusan BCK kerana kegagalan mereka mengambil tindakan pro-aktif bagi menyaingi 1MCB. Malahan ada yang sampai ke tahap menggesa agar CEO BCK meletak jawatan dan memberikan laluan kepada pegawai-pegawai yang lebih berkelayakan. Namun saranan tersebut telah diselar oleh sekumpulan pegawai dan kakitangan yang kebanyakannya mempunyai latar belakang dalam industri biskut coklat seperti CEO yang mempunyai kelulusan sarjana dalam bidang Penyediaan Makanan Berasaskan Koko. Mereka menyanggah pendapat tersebut kerana ia datang dari cendikiawan dalam bidang pembuatan sarung tangan getah dan agak mustahil mempunyai pengetahuan dalam industri biskut coklat.

CEO dan beberapa pegawai tertinggi BCK juga menolak saranan dari pelbagai pihak untuk mereka meletak jawatan. Fakta yang dikemukakan mereka adalah mereka yakin dengan jenama yang ada sekarang, dan mereka juga tidak meragui tentang bahan dalam biskut coklat mereka. Apa yang penting bagi mereka adalah bahan itu asli, sihat dan halal, isu jenama, promosi atau pembungkusan tidak penting. Mereka juga menegaskan bahawa pekerja-pekerja mereka adalah terdiri dari mereka yang ikhlas bekerja untuk kemajuan industri koko dan tidak pernah mempersoalkan tentang pengurusan apatah lagi soal bonus dan gaji.

Pihak BCK juga mendakwa semua kritikan terhadap produk mereka adalah dirancang oleh 1MCB untuk memburuk-burukkan produk mereka dan saranan yang dibuat oleh golongan cendikiawan adalah berniat jahat, biadap, dan berkemungkinan adalah agen 1MCB.

Pada mereka persepsi pengguna tidak penting, yang fardhu adalah mencari yang halal, dan mereka meyakini produk mereka adalah satu-satunya produk halal dan 100% buatan Melayu-Muslim.