Thursday, February 18, 2010

Ribut di hati mahasiswa

'ribut di cangkir".

Seorang cendikiawan menanggapi saya ketika berada di kampus tatkala mengadu tentang suara mahasiswa yang dipinggirkan oleh penguasa universiti . mulanya saya enggan bersetuju dengan pandangan beliau, saya kemukakan hujah-hujah dari lidah Soekarno dan Bung Hatta, Prof. Diraja Ungku Aziz, malahan menyeret sama paradigma Mao Tze Dong dan Che Guevara terhadap kuasa dari kampus.

Saya juga meneguhkan bicara dengan mengatakan kerajaan autokrasi Soeharto dikebumikan bersama-sama jasad sahabat Trisakti yang menumpahkan darah demi memberikan sebuah negara baru kepada rakyat Indonesia. Malahan adalah mimpi melihat China yang lebih terbuka kepada dunia kalau bukan darah para mahasiswa mengalir hanyir di Medan Tiananmen. Tidak juga penjara menjamah mesra tubuh-tubuh pemimpin mahasiswa yang diangkut dengan kuasa ISA kalau kuasa yang ada pada mahasiswa tidak menggentarkan pemerintah. Manakan mungkin AUKU digubal bagi membisukan dan merencatkan mahasiswa kalau kuasa mereka tidak menggugah.

Ahh..paham sahajalah ketika itu, darah muda cepat meluap dan api perjuangan sedang membakar tinggi melangit. Jangankan autokrat universiti, malahan pimpinan negara dimaki, diherdik, dipulau di jalanan. Cendikiawan itu kemudian tersenyum dan menepuk bahuku.

"Anakku..aku rasakan api dalam dirimu. Tapi apakah jasadmu ini, sudah kau siapkan sepasang kafan untuk dipakaikan jika perjuanganmu menuntut nyawamu? Apakah jari-jarimu ini sudah bersedia merangkul mesra jeriji-jeriji besi penjara yang dingin? apakah matamu itu sudah kau persiapkan tatkala gas-gas pemedih tanpa mata menerobos ganas ke dalamnya? "
bicara cendikiwan itu lembut dalam senyum yang tidak pudar dari bibirnya, tapi cukup untuk membuat aku bungkam tanpa suara.

Dia berlalu, kemudian menoleh " anakku, ribut di cangkir, kalau tumpah di warung yang sesak, bisa sahaja menjadi kecoh dan hingar.." ahhh..dia memang pandai berbicara.

Wednesday, February 10, 2010

Artikel ini saya hantar ke Sabahkini.net sebagai respon kepada artikel sindiket .


Sebagai seorang anak Sandakan, membaca artikel tuan sehingga ke penghujung seolah-olah menghiris rasa dan emosi saya. Sukar untuk menerima kenyataan bahawa kemesuman pelacuran kanak-kanak menjadikan Sandakan sebagai dunianya dan tanpa siapa yang bangkit untuk menamatkan episod ngeri ini.

Lebih mendukacitakan apabila pihak-pihak yang sepatutnya membela anak-anak ini terlibat sama menghancurkan masa hadapan anak-anak yang mungkin sebaya dengan anak kandung mereka. Melalui artikel tuan, dapat disimpulkan bahawa kakitangan kerajaan, termasuklah Jabatan Kebajikan Masyarakat yang bertanggungjawab membawa keluar anak-anak ini dari kancah kehinaan, menambah luka yang semakin sukar diubati.

Peranan sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang sewajarnya menjadi pembela kepada anak-anak murid mereka, bertindak cuba menutupi permasalahan ini. Apakah mereka lupa bahawa mereka sedang menghancurkan masa hadapan bangsa dan negeri? Apakah dengan menutupi kemesuman industri pelacuran di kalangan murid-murid sekolah akan menyelesaikan masalah. Apakah mereka lupa atau pura-pura lupa yang sedang dilacur itu adalah anak-anak yang perlu kepada pembelaan bukannya cuba berselindung atas nama kepentingan menjaga nama baik sekolah.

Kita juga sewajarnya bertanya, apakah Kementerian Pelajaran atau Jabatan Pendidikan Negeri juga terlibat membisukan barah yang sedang merebak ini? Sebagai agensi kerajaan yang bertanggungjawab penuh di atas kebajikan murid-murid, sewajarnya permasalahan ini menjadi agenda utama untuk diperjuangkan. Cukuplah sekadar tidak ada satu sekolahpun dari Sabah yang tersenarai sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi, jangan sampai sekolah-sekolah di Sabah dikenali sebagai sarang mengeluarkan pelacur amatur.

Soalan juga harus ditujukan kepada pihak berkuasa Polis, apakah mereka tidak mempunyai maklumat mengenai sindiket-sindiket seperti ini sehinggakan ia terus dibiarkan tanpa ada tindakan serius. Perbuatan melacurkan diri bukan sahaja menyentuh persoalan moral, bahkan merupakan kesalahan serius di bawah Penal Code apatah lagi yang terlibat adalah mereka dibawah umur. Mungkinkah kenaikan gaji anggota Polis akan memberikan sedikit motivasi kepada anggotanya untuk membanteras permasalahan ini. Kami rakyat Sabah sedang memerhati dengan penuh minat.

Hancur dan luluh perasaan bila melihat anak-anak belasan tahun digendong oleh pemangsa-pemangsa yang berhati haiwan. Tatkala anak-anak ini lemas dalam kemewahan dan nafsu, apakah tidak terdetik di hati kita, rakyat Sabah, untuk membela masa depan yang sedang dihenyak lunyai ini?

Kita akur masalah ini telah mengakar dan tidak dapat diselesaikan dalam tempoh yang singkat. Walaubagaimanapun semua pihak haruslah meletakkan isu ini sebagai keutamaan. Kita tidak mahu melihat masa depan negeri terus kelam dan suram. Apakah kita mahu mewariskan sebuah tanah yang penuh dengan noda dan dosa untuk generasi masa hadapan? Jangan sampai nanti anak-anak kita tidak akan mengejutkan kita dari kubur kerana kegagalan kita menjadi pembela buat mereka?

Akhir sekali, marilah sama-sama kita kembali kepada jalan agama, kerana agamalah satu-satunya jalan penyelesaian yang mutlak kepada permasalahan moral dan sosial. Sama-samalah kita berdoa agar episod gelap ini akan berlalu, agar terbina sebuah negeri Sabah yang lebih bermaruah dan maju jaya.

Haris Bin Alimudin
Peguambela & Peguamcara
Ipoh
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS
KAwasan Gopeng, Perak

Tuesday, February 2, 2010

Siasat Kenyataan Abdullah Abdul Karim

Kenyataan media ini adalah atas kapasiti peribadi saya dan tidak mencerminkan pendirian DPPK Gopeng secara keseluruhan. Ramai yang menghentam, menempelak tidak kurang yang menuduh yang tidak baik, tapi kenyataan ini tidak akan saya tarik balik. sekian.


Kenyataan Saudara Abdullah Abdul Karim, Exco Dewan Pemuda PAS Pusat dan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pahang mengenai keputusan Jawatankuasa Tatatertib PAS mengenakan penggantungan selama 6 bulan kepada YB Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam sebagai mengejutkan dan tidak boleh diterima adalah satu kenyataan yang serius dan harus diambil berat oleh pimpinan PAS.

Saya menyatakan bahawa kenyataan tersebut bukan sahaja menyanggah kredibiliti Ahli Jawatankuasa Tatatertib PAS, malahan secara langsung menyentuh kewibaan proses pemilihan ahli-ahli Jawatankuasa tersebut oleh PAS Pusat dan seharusnya menerima respon segera oleh PAS Pusat.

Saya juga menyatakan bahawa satu siasatan segera harus diambil bagi menyiasat dakwaan beliau dan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan kepada hasil siasatan. Saya juga mengharapkan agar siasatan tersebut bukan sahaja menjurus kepada kritikan terbuka Abdullah terhadap keputusan Lembaga Tatatertib, tetapi juga kepada kenyataan beliau yang mengatakan laporan beliau yang tidak mendapat perhatian dari Jawatankuasa Tatatertib.

Saya menyatakan bahawa isu besar dalam kenyataan tersebut adalah berkenaan laporan beliau yang gagal mendapat perhatian dari PAS Pusat walaupun kandungan laporan tersebut adalah cukup serius lantaran kandungannya yang menyentuh mengenai konspirasi di kalangan ahli PAS untuk membawa PAS keluar dari Pakatan Rakyat.Jawatankuasa Tatatertib PAS harus menyedari bahawa keadilan bukan hanya perlu dilaksanakan dengan adil, tetapi yang paling penting dilihat adil.

Kenyataan-kenyataan yang mengkritik keputusan Jawatankuasa Tatatertib harus diberi perhatian dan diperhalusi bagi mempastikan keputusan Jawatankuasa Tatatertib tidak dilihat berat sebelah dan tidak adil.

Saya juga merasa hairan kenapa Jawatankuasa Tatatertib PAS beria-ia mengambil tindakan terhadap YB Khalid Samad, pada masa sama gagal untuk menyiasat kenyataan terbuka mantan Naib Presiden PAS, Ustaz Ahmad Awang yang menyatakan bahawa terdapat arahan dari pimpinan atasan untuk mengadakan kerajaan perpaduan dengan umno selepas keputusan pilihanraya 2008 diumumkan. Bukankah kenyataan tersebut lebih serius dari kenyataan YB Khalid tambahan pula dibuat pada muktamar PAS.

Yang benar,

HARIS ALIMUDIN
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kawasan Gopeng