Monday, November 9, 2009

Persepsi

Ada 2 jenama biskut coklat yang berbeza, kedua-duanya mengatakan jenama mereka adalah biskut coklat yang asli dan terbaik. Mereka juga mendakwa bahawa jenama yang satu lagi adalah jenama tiruan dan mungkin berbahaya kepada kesihatan jika dimakan.


Jenama biskut coklat yang pertama adalah jenama yang sekian lama menjadi pilihan pengguna. Dengan melabur sekian banyak wang bagi tujuan pengiklanan, promosi dan juga rangkaian pemasaran yang luas, jenama biskut coklat mereka agak sukar digugat oleh jenama lain. Walaubagaimanapun , baru-baru ini satu kajian yang dilakukan oleh sekumpulan pakar pemakanan dari sebuah institut kesihatan mendapati bahan-bahan yang digunakan oleh jenama ini tidak mendapat kelulusan dari Kementerian Kesihatan. Malahan dikhuatiri bahan yang digunakan diragui status halalnya. Ini telah menyebabkan penjualan produk mereka merudum dengan drastik malahan beberapa kilang mereka di beberapa buah negeri terpaksa ditutup. Untuk lebih mudah kita panggil jenama coklat ini sebagai 1Malaysia Chocolate Biscuits atau ringkasnya 1MCB.


Jenama yang satu lagi adalah pesaing kepada 1MCB sejak sekian lama. Mereka juga mendakwa biskut coklat mereka adalah yang terbaik, asli dan dibuat dari bahan-bahan yang tidak berbahaya serta dijamin status halalnya. Ini disokong oleh kakitangan dan pekerja mahir dalam bidang koko, nutrisi makanan, panel syariah dalam bidang makanan dan juga pekerja-pekerja bawahan yang komited. Walaubagaimanapun jenama ini sukar untuk menembusi pasaran utama kerana kekurangan promosi serta rangkaian pemasaran yang agak terhad. Mereka menamakan jenama biskut coklat mereka Biskut Coklat Kebajikan : Satu Ummah, Satu biskut Coklat. ( BCK).


Menyedari saingan yang semakit hebat dari jenama BCK, 1MCB telah melancarkan projek penjenamaan semula atau re-branding bagi produk mereka. Mereka telah mengeluarkan sejumlah besar peruntukan untuk membaiki imej mereka dengan melancarkan pek bungkusan baru yang lebih mesra pengguna, kerjasama dengan badan-badan kebajikan dengan menaja program-program mereka, memberi peruntukan kepada NGO-NGO kepenggunaan dan bersifat Islamik , disamping iklan dan promosi yang lebih agresif dan mensasar kepada semua golongan. Kajian terbaru yang dijalankan menunjukkan indeks kepercayaan pengguna kepada 1MCB melonjak dan hampir menyamai rekod jualan sebelum isu berkenaan kandungan produk mereka terbongkar.

Menyedari tentang pentingnya makanan halal kepada pembinaan insan, beberapa cendikiawan muslim telah mengeluarkan kritikan kepada pengurusan BCK kerana kegagalan mereka mengambil tindakan pro-aktif bagi menyaingi 1MCB. Malahan ada yang sampai ke tahap menggesa agar CEO BCK meletak jawatan dan memberikan laluan kepada pegawai-pegawai yang lebih berkelayakan. Namun saranan tersebut telah diselar oleh sekumpulan pegawai dan kakitangan yang kebanyakannya mempunyai latar belakang dalam industri biskut coklat seperti CEO yang mempunyai kelulusan sarjana dalam bidang Penyediaan Makanan Berasaskan Koko. Mereka menyanggah pendapat tersebut kerana ia datang dari cendikiawan dalam bidang pembuatan sarung tangan getah dan agak mustahil mempunyai pengetahuan dalam industri biskut coklat.

CEO dan beberapa pegawai tertinggi BCK juga menolak saranan dari pelbagai pihak untuk mereka meletak jawatan. Fakta yang dikemukakan mereka adalah mereka yakin dengan jenama yang ada sekarang, dan mereka juga tidak meragui tentang bahan dalam biskut coklat mereka. Apa yang penting bagi mereka adalah bahan itu asli, sihat dan halal, isu jenama, promosi atau pembungkusan tidak penting. Mereka juga menegaskan bahawa pekerja-pekerja mereka adalah terdiri dari mereka yang ikhlas bekerja untuk kemajuan industri koko dan tidak pernah mempersoalkan tentang pengurusan apatah lagi soal bonus dan gaji.

Pihak BCK juga mendakwa semua kritikan terhadap produk mereka adalah dirancang oleh 1MCB untuk memburuk-burukkan produk mereka dan saranan yang dibuat oleh golongan cendikiawan adalah berniat jahat, biadap, dan berkemungkinan adalah agen 1MCB.

Pada mereka persepsi pengguna tidak penting, yang fardhu adalah mencari yang halal, dan mereka meyakini produk mereka adalah satu-satunya produk halal dan 100% buatan Melayu-Muslim.

1 comment:

duta said...

cantekkk...
inilah analogi yang baik.

yg salah mmg slalu cuba mencari bahan untuk membetulkan tindakan yg dibuat.