Tuesday, May 19, 2009

Kemiskinan

Menurut angka yang dikira berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) , hanya 5.7% dari rakyat malaysia masih terbelenggu dalam pusaran kemiskinan. Namun kiraan berdasarkan PGK ini adalah tidak tepat kerana ia merupakan indeks yang malar sejak puluhan tahun lalu. Mungkin pada tahun 70-an dan awal 80-an PGK itu relevan, namun apakah tidak kurang siuman sekiranya ia masih digunakan sebagai penanda aras tahap kemiskinan rakyat pada tahun 2009?.



Berdasarkan pengiraan pada tahun 2005, PGK untuk seluruh negara adalah RM691 bagi pendapatan bulanan, manakala bagi Semenanjung pula jumlahnya RM661, Sabah (RM888) dan Sarawak (RM765) dan pengiraan ini bagi satu keluarga seramai lima orang!. bayangkan sebuah keluarga dengan 3 orang anak dan pendapatan mereka adalah RM700 sebulan, mereka bukanlah dianggap sebagai miskin di negara ini. secara logikanya, apakah yang mahu ditelan oleh tenggorokan anak-anak kalau pendapatan ibu bapannya hanya RM700 sebulan?harga untuk membayar elaun hiburan bapak menteri atau YB satu malam jauh lebih tinggi. manakan tidak, kalau penghibur didatangkan khas dari Ulan Bhator atau Guangdong.

Mereka tidak pernah merasakan perit dan pedih perut anak-anak yang dibesarkan dalam keluarga yang tidak tergolong sebagai miskin dalam PGK ciptaan mereka.

Ada Bapak menteri atau YB-YB yang pernah merasakan kemiskinan, sayangnya masa lampau mereka tidak mengajar mereka untuk membela nasib anak-anak bangsa yang saban hari berjuang untuk hidup dengan air kosong dan nasi berlauk kicap. lupa atau sengaja melupakan tentang skrip ibubapa mendodoi anak yang tidur berteman perut yang berkeroncongan.

Pengalaman mengikuti Ir. Radzi Jamaluddin, TYDP PAS Gopeng, menziarah dan meneroka rumah-rumah rakyat di pinggiran Ipoh, dalam ramadhan yang lepas, adalah pengalaman yang menginsafkan. sungguh-sungguh menginsafkan sehingga rasa bersalah menerjah setiap kali menyuap nasi ke mulut, terbayang apakah anak-anak di kampung yang dilawati tadi ada makanan untuk berbuka hari ini?

Mengetuk pintu rumah rakyat, yang tua uzur ditinggal anak-anak, yang janda menyara hidup anak-anak kecil, yang cacat, yang buta, yang bisu, yang pekak, yang gagap...segala mcam manusia disalami dan dimesrai, tidak dalam baju politik, tapi sebagai saudara. Yang hairannya setelah 50 tahun merdeka, seolah-olah negara melupakan mereka. dalam agenda koridor-koridor, wilayah pembangunan dan 1Malaysia, ada bangsa yang melarat miskin dalam rumah-rumah yang menunggu waktu menyembah ke bumi.

Namun sesuatu yang aku tak boleh lupakan, dalam satu ziarah ke rumah seorang ibu tunggal yang tinggal disebuah rumah yang tinggal separuh, separuh lagi telah roboh ditimpa pohon kelapa. Setelah memberi sedikit sumbangan dan zakat, kakak itu menangis, mengadu dalam sedu, bahawa YB yang diundi tidak sekali melawati atau bertanya khabar. Kenapa parti yang tidak digemarinya datang menyantuni tatkala syawal diambang. sebelum pulang, dia memberikan kami sebekas buah nangka.katanya " walaupun saya miskin harta, terimalah buah nangka ini, tanda terima kasih dari seorang rakyat miskin..."

No comments: