Wednesday, February 10, 2010

Artikel ini saya hantar ke Sabahkini.net sebagai respon kepada artikel sindiket .


Sebagai seorang anak Sandakan, membaca artikel tuan sehingga ke penghujung seolah-olah menghiris rasa dan emosi saya. Sukar untuk menerima kenyataan bahawa kemesuman pelacuran kanak-kanak menjadikan Sandakan sebagai dunianya dan tanpa siapa yang bangkit untuk menamatkan episod ngeri ini.

Lebih mendukacitakan apabila pihak-pihak yang sepatutnya membela anak-anak ini terlibat sama menghancurkan masa hadapan anak-anak yang mungkin sebaya dengan anak kandung mereka. Melalui artikel tuan, dapat disimpulkan bahawa kakitangan kerajaan, termasuklah Jabatan Kebajikan Masyarakat yang bertanggungjawab membawa keluar anak-anak ini dari kancah kehinaan, menambah luka yang semakin sukar diubati.

Peranan sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang sewajarnya menjadi pembela kepada anak-anak murid mereka, bertindak cuba menutupi permasalahan ini. Apakah mereka lupa bahawa mereka sedang menghancurkan masa hadapan bangsa dan negeri? Apakah dengan menutupi kemesuman industri pelacuran di kalangan murid-murid sekolah akan menyelesaikan masalah. Apakah mereka lupa atau pura-pura lupa yang sedang dilacur itu adalah anak-anak yang perlu kepada pembelaan bukannya cuba berselindung atas nama kepentingan menjaga nama baik sekolah.

Kita juga sewajarnya bertanya, apakah Kementerian Pelajaran atau Jabatan Pendidikan Negeri juga terlibat membisukan barah yang sedang merebak ini? Sebagai agensi kerajaan yang bertanggungjawab penuh di atas kebajikan murid-murid, sewajarnya permasalahan ini menjadi agenda utama untuk diperjuangkan. Cukuplah sekadar tidak ada satu sekolahpun dari Sabah yang tersenarai sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi, jangan sampai sekolah-sekolah di Sabah dikenali sebagai sarang mengeluarkan pelacur amatur.

Soalan juga harus ditujukan kepada pihak berkuasa Polis, apakah mereka tidak mempunyai maklumat mengenai sindiket-sindiket seperti ini sehinggakan ia terus dibiarkan tanpa ada tindakan serius. Perbuatan melacurkan diri bukan sahaja menyentuh persoalan moral, bahkan merupakan kesalahan serius di bawah Penal Code apatah lagi yang terlibat adalah mereka dibawah umur. Mungkinkah kenaikan gaji anggota Polis akan memberikan sedikit motivasi kepada anggotanya untuk membanteras permasalahan ini. Kami rakyat Sabah sedang memerhati dengan penuh minat.

Hancur dan luluh perasaan bila melihat anak-anak belasan tahun digendong oleh pemangsa-pemangsa yang berhati haiwan. Tatkala anak-anak ini lemas dalam kemewahan dan nafsu, apakah tidak terdetik di hati kita, rakyat Sabah, untuk membela masa depan yang sedang dihenyak lunyai ini?

Kita akur masalah ini telah mengakar dan tidak dapat diselesaikan dalam tempoh yang singkat. Walaubagaimanapun semua pihak haruslah meletakkan isu ini sebagai keutamaan. Kita tidak mahu melihat masa depan negeri terus kelam dan suram. Apakah kita mahu mewariskan sebuah tanah yang penuh dengan noda dan dosa untuk generasi masa hadapan? Jangan sampai nanti anak-anak kita tidak akan mengejutkan kita dari kubur kerana kegagalan kita menjadi pembela buat mereka?

Akhir sekali, marilah sama-sama kita kembali kepada jalan agama, kerana agamalah satu-satunya jalan penyelesaian yang mutlak kepada permasalahan moral dan sosial. Sama-samalah kita berdoa agar episod gelap ini akan berlalu, agar terbina sebuah negeri Sabah yang lebih bermaruah dan maju jaya.

Haris Bin Alimudin
Peguambela & Peguamcara
Ipoh
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS
KAwasan Gopeng, Perak

1 comment:

Mas Mohd Yunus said...

Nina, adalah salah seorang daripada lebih 30 'Pelajar Terlampau' SM St Mary yang menjadi rebutan pelanggan dan harganya mahal kerana status ‘Pelajar’ dan mempunyai susuk tubuh yang menarik dan wajah yang agak menawan.

Gelincirnya maruah para pelajar ini daripada pelbagai keturunan mungkin disebabkan kesibukan ibu bapa dan kesusahan hidup yang dialami dan terjebak dengan sindiket yang sudah berusia lebih daripada lapan tahun.

Kes paling menarik, seorang bekas pelajar SM St Mary yang bernikah setahun lalu bertelagah dengan suaminya, yang berketurunan Suluk dan berkulit gelap mendapat anak yang putih melepak dan bermata sepet!

Krew Sabahkini.net juga terkejut apabila mendapat tahu Guru Kanan SM St Mary telah menghantar ‘Pelajar Terlampau’ yang masih belajar di tingkatan tiga menjalani pengguguran di sebuah klinik demi untuk menyelamatkan ‘maruah’ murid dan sekolahnya!.

Haris, setahu aku SM ST Mary ni sekolah lelaki. Manakala kalau di tingkatan 6, ada pelajar perempuan. tapi di akhir perenggan di atas, berlaku komfius sikit. SRK ST Mary Convent, SRK ST Mary Bandar, atau SM ST Mary's Labuk? Sila siasat,