Tuesday, February 2, 2010

Siasat Kenyataan Abdullah Abdul Karim

Kenyataan media ini adalah atas kapasiti peribadi saya dan tidak mencerminkan pendirian DPPK Gopeng secara keseluruhan. Ramai yang menghentam, menempelak tidak kurang yang menuduh yang tidak baik, tapi kenyataan ini tidak akan saya tarik balik. sekian.


Kenyataan Saudara Abdullah Abdul Karim, Exco Dewan Pemuda PAS Pusat dan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pahang mengenai keputusan Jawatankuasa Tatatertib PAS mengenakan penggantungan selama 6 bulan kepada YB Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam sebagai mengejutkan dan tidak boleh diterima adalah satu kenyataan yang serius dan harus diambil berat oleh pimpinan PAS.

Saya menyatakan bahawa kenyataan tersebut bukan sahaja menyanggah kredibiliti Ahli Jawatankuasa Tatatertib PAS, malahan secara langsung menyentuh kewibaan proses pemilihan ahli-ahli Jawatankuasa tersebut oleh PAS Pusat dan seharusnya menerima respon segera oleh PAS Pusat.

Saya juga menyatakan bahawa satu siasatan segera harus diambil bagi menyiasat dakwaan beliau dan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan kepada hasil siasatan. Saya juga mengharapkan agar siasatan tersebut bukan sahaja menjurus kepada kritikan terbuka Abdullah terhadap keputusan Lembaga Tatatertib, tetapi juga kepada kenyataan beliau yang mengatakan laporan beliau yang tidak mendapat perhatian dari Jawatankuasa Tatatertib.

Saya menyatakan bahawa isu besar dalam kenyataan tersebut adalah berkenaan laporan beliau yang gagal mendapat perhatian dari PAS Pusat walaupun kandungan laporan tersebut adalah cukup serius lantaran kandungannya yang menyentuh mengenai konspirasi di kalangan ahli PAS untuk membawa PAS keluar dari Pakatan Rakyat.Jawatankuasa Tatatertib PAS harus menyedari bahawa keadilan bukan hanya perlu dilaksanakan dengan adil, tetapi yang paling penting dilihat adil.

Kenyataan-kenyataan yang mengkritik keputusan Jawatankuasa Tatatertib harus diberi perhatian dan diperhalusi bagi mempastikan keputusan Jawatankuasa Tatatertib tidak dilihat berat sebelah dan tidak adil.

Saya juga merasa hairan kenapa Jawatankuasa Tatatertib PAS beria-ia mengambil tindakan terhadap YB Khalid Samad, pada masa sama gagal untuk menyiasat kenyataan terbuka mantan Naib Presiden PAS, Ustaz Ahmad Awang yang menyatakan bahawa terdapat arahan dari pimpinan atasan untuk mengadakan kerajaan perpaduan dengan umno selepas keputusan pilihanraya 2008 diumumkan. Bukankah kenyataan tersebut lebih serius dari kenyataan YB Khalid tambahan pula dibuat pada muktamar PAS.

Yang benar,

HARIS ALIMUDIN
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kawasan Gopeng