Wednesday, March 17, 2010

Bukan Islam 'Membaca" Islam pada orang Islam

Dipetik dari Harakahdaily


"Jangan menilai buku pada kulitnya" -- Ungkapan ini sememangnya senang diucap tapi berapakah ramai orang yang betul-betul dapat melakukannya?

Soalan yang sama turut boleh diajukan kepada orang bukan Islam dalam soal memahami agama Islam -- lazimnya bagaimanakah mereka mendapat pengetahuan dalam mengenali ajaran agama Islam?Berapakah orang bukan Islam yang mengambil inisiatif untuk membaca buku Al-Quran dan Hadis untuk memahami agama Islam? Jarang sekali.

Dalam soal agama, khususnya di negara kita di mana majoriti penduduknya beragama Islam, orang bukan Islam memahami ajaran agama Islam bukan dengan menggaji buku al-Quran, tetapi membacanya melalui tingkah-laku orang yang beragama Islam.Segala imej and persepsi, yang baik mahupun yang buruk mengenai Islam pada minda orang bukan Islam dibentuk secara tidak sengaja tanpa disedari dengan membaca tingkah laku, tutur kata dan amalan pemimpin-pemimpin yang beragama Islam.

Contohnya di sekolah, ustaz-ustaz memainkan peranan yang penting dalam mencairkan hati pelajar-pelajar bukan Islam terhadap Islam melalui perwatakan dan cara pertuturannya. Ustaz-ustaz yang berwatakan sederhana, bersopan dan berhati baik secara tidak langsung membentuk kesan imej Islam yang baik dan mendalam pada minda-minda pelajar-pelajar bukan Islam.

Baru-baru ini, dalam satu majlis Teh Tarik bersama rakyat, Ahli Parlimen Shah Alam, YB Khalid Samad berkata:
“Untuk meyakinkan orang terhadap Islam adalah proses yang berterusan. Islam tidak boleh “dipaksa terima” (imposed) pada masyarakat. PAS tidak boleh memaksa masyarakat untuk melakukan apa yang kita inginkan. Sebaliknya, kita harus meyakinkan orang-orang terlebih dahulu.”

Rata-rata pembaca yang terbaca kenyataannya di atas memberikan komen tanda setuju bahawa beliau adalah seorang yang amat memahami agama Islam kerana konsepnya mudah diterima akal dan beliau berjaya mewajahkan Islam sebagai agama yang bersifat toleransi dan sejagat.

Jika pembaca membaca kenyataannya sudah boleh berasa begitu rupa, bayangkan imej Islam yang dibawa oleh PAS, yang berjaya dibentuk pada minda semua hadirin bukan Islam yang hadir mendengar ucapan YB Khalid Samad secara live pada tempoh hari – sudah tentunya mereka sudah dapat mengubah persepsi bahawa agama Islam tidaklah seburuk yang dibayangkan mereka sebelum ini.

Harus diingatkan, Islam ialah sebuah agama yang agung, tetapi kebanyakan perkara buruk yang dilabelkan pada nama baik Islam adalah hasil keburukan sikap pengikut-pengikutnya sendiri.

Untuk memesrakan Islam kepada orang bukan Islam, masyarakat Islam perlukan lebih banyak pemimpin PAS seperti YB Khalid Samad, yang dapat mengubah persepsi kurang baik orang bukan Islam terhadap Islam melalui perwatakan dan pertuturan yang betul-betul berjiwa dan berkonsepkan Islam.

Pemimpin-pemimpin masyarakat Islam harus faham bahawa orang bukan Islam tidak akan menerima Islam dengan membaca buku al-Quran, sebaliknya mereka akan menerima Islam sekiranya mereka ditunjukkan contoh-contoh kemuliaan agama Islam melalui perangai, pertuturan dan perwatakan penganut-penganut agama Islam di sekeliling mereka.
--------------------------

Li Fook Gao menjadi anak angkat kepada seorang ustaz kerana kealiman, kesederhanaan dan perwatakan keIslamannya yang menyentuh hati.

No comments: