Monday, March 8, 2010

musim lompat

adapun sudah dilazim orang akan musim-musim tertentu di tempat kita ini. ada musim yang dikaitkan dengan tanam-tanaman seperti musim rambutan, durian, langsat, jagung, ciku dan pulasan. ada juga musim yang dikaitkan dengan cuaca seperti musim kemarau, musim hujan, musim banjir dan sebagainya. adapun luar dari ini ada dua juga musim yang masyhur sifatnya, dinamakan orang musim berkahwin dan musim berkhatan.

namun ada satu musim yang sangat pelik peelnya. tiadalah musim ini ada kena mengena dengan ribut mahupun taufan, bidang pertanian mahupun cuti persekolahan. musim ini tiadalah juga di berkaitan dengan rakyat bawahan ataupun yang tiada berjawatan. hanya mengena pada wakil rakyat juga sifatnya. dipanggil orang musim lompat, tiadalah kita arif apakah ada kaitan dengan kodok atau katak di pinggiran.

musim ini dikhabar orang boleh menyebabkan wakil rakyat tidak keruan. kalau dulu parti yang dilompati itu keji jua sahaja sifatnya, tapi tiba-tiba tatkala tiada angin barat menderu, tiada taufan membadai, syahdan bertukar mulia semuanya, seperti babi menjadi rusa diraja.

parti itu membela agama kata mereka, mengangkat darjat melayu kata mereka, dan tiada ia bersetuju dengan penggunaan akan nama Allah akan mereka pada bangsa-bangsa yang tidak bertaqwa. kita menunggu-nunggu jua kalau ada yang keluar itu berkhabar mereka akan sesiapa menyertai parti melayu, rezeki melimpah-limpah-limpah, menjadi kaya serta merta.

mahu kita mengingati pada mereka yang melompat, tiadalah kita mahu tahu kita kerana agama dan bangsa atau kerana laba, ingatlah pada alam baqa. tiada ia memberi 'advantage' pada sesiapa, PKR ka atau umno ka, tiada ia terpujuk pada yang bermuka-muka, apatah lagi mengkhianati amanat rakyat jelata.

adapun musim lompat ini kata pendita tiada ia berakhir sekelip mata, mungkin membawa ke beberapa hari lama, mungkin juga memakan purnama. maka bersiaplah para patinggi dan penggawa di atas sana, mari melihat wakil jelata, takut-takut sudah ada yang merencana, membakar layar menukar bedar.

No comments: