Monday, June 21, 2010

Lawak jarang-jarang

Mr. PM nak minta cadangan bagi nama kat kucing ni? Altantuya is a cute name...


macam ketua kampung nak rasmi sukaneka tadika kemas

Friday, May 7, 2010

Dari Blog Bro Isham

LELAKI MATI TINGGAL NOTA UNTUK ISTERI

Akibat tidak dapat menahan tekanan berikutan hidup dalam kemiskinan dan kehilangan pekerjaan mendorong seorang lelaki berusia 41 tahun mengambil keputusan drastik untuk menamatkan riwayat hidup sendiri.

Dengan hanya beberapa ringgit dalam kocek seluar serta sekeping nota yang ditinggalkan untuk isteri dan anak berusia lima bulan, Khairudin Wazir Khan ditemui terbaring berlumuran darah di tilam oleh rakan sebiliknya di Flet Sri Kolam di sini, kira-kira jam 12.15 pagi semalam dengan kesan tikaman di dada dipercayai menggunakan sebilah pisau lipat.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsudin, berkata setakat ini polis menolak kaitan jenayah dengan kematian itu tetapi siasatan diteruskan.

Khairudin dipercayai meninggalkan keluarganya di Setiu dan bekerja sebagai pengawal keselamatan hingga dua bulan lalu apabila dia diberhentikan kerja.

Rakan sebiliknya yang tidak mahu dikenali berkata, Khairudin berkahwin semula dengan isterinya lebih setahun lalu selepas mereka berpisah selama 10 tahun.

Bagaimanapun, selepas kehilangan pekerjaan sebagai pengawal keselamatan, dia masih gagal mendapat kerja baru walaupun sudah puas mencari kerja di daerah ini.

Seorang jiran, Alias Muhammad, 43, berkata beberapa jam sebelum itu, Khairudin menceritakan kisah sedih kehidupannya kepada beberapa penduduk flet itu di gerai makan berhampiran.

Katanya, Khairudin memberitahu mereka dia sudah berhutang sebanyak RM160 dan masih terhutang wang sewa rumah.


nota dari aku:

kau bacalah berita ini. ulangi sekali lagi. bila aku membacanya petang tadi ayer mata aku meleleh. pipi aku panas dan basah

hati aku koyak berderai.

lihatlah kesah cinta ini. inilah kesah cinta yang agung. inilah kesah uda dan dara. inilah hikayat laila dan majnoon. inilah roman ali dan nina. inilah cinta romeo kepada juliet.

bertapa setianya sang suami kepada sang isteri.

sepuluh tahun mereka berpisah. sepuluh tahun mereka diduga. sepuluh tahun mereka memendam rasa. sepuluh tahun cinta terhalang.

pastilah terpisah kerana pencarian. pastilah terpisah kerana pekerjaan. akhirnya mereka bertemu kembali untuk memulakan penghidupan baru.

bayangkan senyuman yang meliar.
bayangkan ketawa di hati.
bayangkan janji janji yang telah dilafazkan.
bayangklan kata kata lunak yang terhambur.
setelah sepuluh tahun berpisah pastilah janji janji diikat untuk membina istana yang baru.

bukan janji untuk bercuti ke kota paris
atau berjanji membeli sepasang prada
atau masuk ke pavilion untuk minum secawan kopi
jauh sekali untuk ke dubai membeli anting anting

berjanji bersetia untuk satu kehidupan
berjanji bersetia untuk mencari pekerjaan
berjanji bersetia untuk menjadi sang suami yang baik
berjanji bersetia untuk menjadi sang isteri yang sempurna

hidup ini
hidup ini
hidup ini satu perjalanan yang maha panjang

kau baca berapa ringgit ditemui dalam saku sang suami
pasti tidak dapat membeli secangkir anggur merah
berapa ringgit agaknya yang akan diwariskan untuk anaknya yang baru berumur lima bulan.

kau sedarilah sang suami ini tidak memiliki saham pnb
sang suami ini tidak pernah tahu tentang ketuanan melayu
sang suami ini tidak tahu yang jackie chan dan
michelle yeoh telah membeli harta di seberang takir

ketika monsoon cup dahulu dimana agaknya sang suami
apakah ketika itu sang isteri sarat mengandung
atau sang suami memimpin sang isteri melihat betapa
lumayannya perahu di sungai duyung

tapi - tengkujuh dan taufan bukan yang mereka cari
hanya sepinggan nasi dan samangkok gulai untuk pendiding diri.


kau ingat sang suami ini tahu tentang duit petronas?
kau ingat sang suami ini tahu tentang wang ehsan?
kau ingat sang suami ini tahu tentang kontrek masjid kristal?
kau ingat sang suami ini tahu tentang stadium yang runtuh?

nah! kau hitung berapa hutang yang belum terbayar?
sekali lagi kau ulang baca
lihat berapa hutang sang suami yang belum dibayar?

jangan kau terperanjat
hutang sang suami hanya seratus enam puluh ringgit
tidak cukup untuk membeli sebatang havana

jangan kau terperanjat
hutang sang suami hanya seratus enam puluh ringgit
tidak cukup untuk melayan happy hours

demi zeus
apakah agaknya nota akhir untuk sang isteri
apakah yang ditulis hanya selamat tinggal wahai kekaseh ku
apakah yang ditulis kucupan akhir untuk sang anak

demi zeus
aku tahu
sampai kiamat pun
aku tidak akan dapat tahu
apakah nota terakhir dari sang suami

demi zeus
aku bersumpah
sambil aku berkelana
kesah ini akan aku bawa
sepanjang perjalanan hidup ku

untuk kau
kau yang menjadi kawan aku
jika kau membaca kesah ini
jika tercarik hati mu
jika koyak air mata mu
jika tertekan nafas sedeh mu
jika sebak dada mu
maka aku tahu
sebenarnya kau memilik hati suci seorang komunis
hanya kau tidak menyedari bahawa hati kecil mu
adalah degupan yang sentiasa membawa kebaikan.

Wednesday, April 28, 2010

Anak Muda Ditembak Mati Sang Penguasa

Anak muda ditembak di jalanan
tika "perampok" merompak besar-besaran
Anak muda ditembak di jalanan
tika bunuh-bunuhan menjadi permainan
Anak muda dibunuh dijalanan
Tika ragut menjadi pekerjaan
Anak muda ditembak dijalanan
tika rasuah penentu siapa kerajaan
Sialan!

Tuesday, April 13, 2010

Jaga Kesihatan Pemimpin Kita

Baru sebentar tadi membaca laporan dalam blog YB Idham Lim, ADUN Changkat Jong dimasukkan ke hospital atas sebab masalah kesihatan. YB Idham sendiri sebenarnya baru sahaja keluar hospital. Sebelum itu berita mengenai tahap kesihatan Tuan Guru Nik Aziz juga membimbangkan. Begitu juga dengan berita kesihatan wakil-wakil rakyat PAS yang kerap mengundang pilihanraya kecil.

Dengan tidak mengenepikan soal ajal dan maut, mungkin soal kesihatan ini agak kurang diberi perhatian oleh sesetengah pimpinan yang mengakibatkan kemerosotan kualiti kesihatan mereka. Sudah pastinya gaya hidup yang penuh dan padat dengan kerja-kerja jemaah menuntut kerahan tenaga yang tidak sedikit tidak mengizinkan mereka untuk melakukan aktiviti riadah seperti orang lain.

Saya percaya sebagai ahli, kadangkala kita jarang memikirkan soal kesihatan pemimpin kita. Bayangkan dalam satu program ceramah, yang biasanya akan tamat sejurus lewat malam, pemimpin dijamu dengan perlbagai hidangan yang lazat. Kari kepala ikan, masak lemak gulai nangka, ikan patin masak tempoyak, ikan pari masak asam pedas dan sebagainya dijamu pada tengah malam. Bayangkan bahana kepada kesihatan.

Mungkin sudah tiba masanya, pembantu peribadi para pimpinan mengambil berat soal ini pada masa sekarang. aturkan elok-elok jenis makanan bagaimana yang seharusnya diambil oleh pimpinan. bukan tidak menghargai tuan rumah, yang pastinya sedaya upaya menyajikan yang terbaik, sekadar menjaga kesihatan pimpinan kita untuk terus memimpin jemaah dalam keadaan sihat walafiat.

Tuesday, March 30, 2010

Air Mata Melayu...

air mata ayah ini
air mata ibu ini
air mata anak ini
adalah doa
doa tanpa hijab
moga umno akan hancur sehancurnya
sepertimana hancurnya firaun, haman dan abrahah
amin.
( untuk rakyat johor yang rumah mereka diroboh pemimpin yang mereka letak di atas)

Wednesday, March 17, 2010

Bukan Islam 'Membaca" Islam pada orang Islam

Dipetik dari Harakahdaily


"Jangan menilai buku pada kulitnya" -- Ungkapan ini sememangnya senang diucap tapi berapakah ramai orang yang betul-betul dapat melakukannya?

Soalan yang sama turut boleh diajukan kepada orang bukan Islam dalam soal memahami agama Islam -- lazimnya bagaimanakah mereka mendapat pengetahuan dalam mengenali ajaran agama Islam?Berapakah orang bukan Islam yang mengambil inisiatif untuk membaca buku Al-Quran dan Hadis untuk memahami agama Islam? Jarang sekali.

Dalam soal agama, khususnya di negara kita di mana majoriti penduduknya beragama Islam, orang bukan Islam memahami ajaran agama Islam bukan dengan menggaji buku al-Quran, tetapi membacanya melalui tingkah-laku orang yang beragama Islam.Segala imej and persepsi, yang baik mahupun yang buruk mengenai Islam pada minda orang bukan Islam dibentuk secara tidak sengaja tanpa disedari dengan membaca tingkah laku, tutur kata dan amalan pemimpin-pemimpin yang beragama Islam.

Contohnya di sekolah, ustaz-ustaz memainkan peranan yang penting dalam mencairkan hati pelajar-pelajar bukan Islam terhadap Islam melalui perwatakan dan cara pertuturannya. Ustaz-ustaz yang berwatakan sederhana, bersopan dan berhati baik secara tidak langsung membentuk kesan imej Islam yang baik dan mendalam pada minda-minda pelajar-pelajar bukan Islam.

Baru-baru ini, dalam satu majlis Teh Tarik bersama rakyat, Ahli Parlimen Shah Alam, YB Khalid Samad berkata:
“Untuk meyakinkan orang terhadap Islam adalah proses yang berterusan. Islam tidak boleh “dipaksa terima” (imposed) pada masyarakat. PAS tidak boleh memaksa masyarakat untuk melakukan apa yang kita inginkan. Sebaliknya, kita harus meyakinkan orang-orang terlebih dahulu.”

Rata-rata pembaca yang terbaca kenyataannya di atas memberikan komen tanda setuju bahawa beliau adalah seorang yang amat memahami agama Islam kerana konsepnya mudah diterima akal dan beliau berjaya mewajahkan Islam sebagai agama yang bersifat toleransi dan sejagat.

Jika pembaca membaca kenyataannya sudah boleh berasa begitu rupa, bayangkan imej Islam yang dibawa oleh PAS, yang berjaya dibentuk pada minda semua hadirin bukan Islam yang hadir mendengar ucapan YB Khalid Samad secara live pada tempoh hari – sudah tentunya mereka sudah dapat mengubah persepsi bahawa agama Islam tidaklah seburuk yang dibayangkan mereka sebelum ini.

Harus diingatkan, Islam ialah sebuah agama yang agung, tetapi kebanyakan perkara buruk yang dilabelkan pada nama baik Islam adalah hasil keburukan sikap pengikut-pengikutnya sendiri.

Untuk memesrakan Islam kepada orang bukan Islam, masyarakat Islam perlukan lebih banyak pemimpin PAS seperti YB Khalid Samad, yang dapat mengubah persepsi kurang baik orang bukan Islam terhadap Islam melalui perwatakan dan pertuturan yang betul-betul berjiwa dan berkonsepkan Islam.

Pemimpin-pemimpin masyarakat Islam harus faham bahawa orang bukan Islam tidak akan menerima Islam dengan membaca buku al-Quran, sebaliknya mereka akan menerima Islam sekiranya mereka ditunjukkan contoh-contoh kemuliaan agama Islam melalui perangai, pertuturan dan perwatakan penganut-penganut agama Islam di sekeliling mereka.
--------------------------

Li Fook Gao menjadi anak angkat kepada seorang ustaz kerana kealiman, kesederhanaan dan perwatakan keIslamannya yang menyentuh hati.

Tuesday, March 16, 2010

kompom budak sabah la ni yang tulis..

aku ambik dari satu blog. nda tau mau kasi salah siapa bah ini isu. mau cakap budak yang salah, mesti dia ada cikgu kan? kalau kasi salah cikgu saja, nda juga betul tu. apa macam kita fikir?



Belasungkawa Buat Seorang Pejuang PAS : Mendiang Panthiyan a/l Patchamutu

DPPKG melahirkan rasa sedih yang mendalam di atas kematian tragis Ketua Pemuda Dewan Himpunan Penyokong PAS Perak, mendiang Panthiyan a/l Patchamuthu semalam.

Hari ini PAS dan Dewan Pemuda khususnya kehilangan seorang sahabat pejuang yang komited dan amanah dalam meneruskan perjuangan PAS dan kematian beliau merupakan satu kehilangan besar buat PAS.

DPPKG juga menyatakan rasa simpati kepada seluruh kaum keluarga dan sahabat handai beliau dan mengharapkan mereka bersabar dan semoga Allah memberikan kekuatan semangat menghadapi saat-saat getir ini .

DPPKG juga menggesa agar pihak berkuasa menjalankan siasatan segera di atas kematian beliau yang disyaki dibunuh oleh pihak yang tidak berperikemanusiaan dan mengutuk keras kejadian tersebut.

DPPKG juga melahirkan rasa kebimbangan terhadap peningkatan kadar jenayah bunuh yang melibatkan senjata api dan hari ini telah mengakibatkan kematian seorang pimpinannya.

Sekali lagi DPPKG mengharapkan agar seluruh keluarga dan ahli-ahli PAS bertenang dalam menghadapi ujian ini.

HARIS BIN ALIMUDIN
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS
Kawasan Gopeng

Thursday, March 11, 2010

Iklan Parti Islam

rasa-rasa PAS boleh buat iklan macam ni tak?

Monday, March 8, 2010

musim lompat

adapun sudah dilazim orang akan musim-musim tertentu di tempat kita ini. ada musim yang dikaitkan dengan tanam-tanaman seperti musim rambutan, durian, langsat, jagung, ciku dan pulasan. ada juga musim yang dikaitkan dengan cuaca seperti musim kemarau, musim hujan, musim banjir dan sebagainya. adapun luar dari ini ada dua juga musim yang masyhur sifatnya, dinamakan orang musim berkahwin dan musim berkhatan.

namun ada satu musim yang sangat pelik peelnya. tiadalah musim ini ada kena mengena dengan ribut mahupun taufan, bidang pertanian mahupun cuti persekolahan. musim ini tiadalah juga di berkaitan dengan rakyat bawahan ataupun yang tiada berjawatan. hanya mengena pada wakil rakyat juga sifatnya. dipanggil orang musim lompat, tiadalah kita arif apakah ada kaitan dengan kodok atau katak di pinggiran.

musim ini dikhabar orang boleh menyebabkan wakil rakyat tidak keruan. kalau dulu parti yang dilompati itu keji jua sahaja sifatnya, tapi tiba-tiba tatkala tiada angin barat menderu, tiada taufan membadai, syahdan bertukar mulia semuanya, seperti babi menjadi rusa diraja.

parti itu membela agama kata mereka, mengangkat darjat melayu kata mereka, dan tiada ia bersetuju dengan penggunaan akan nama Allah akan mereka pada bangsa-bangsa yang tidak bertaqwa. kita menunggu-nunggu jua kalau ada yang keluar itu berkhabar mereka akan sesiapa menyertai parti melayu, rezeki melimpah-limpah-limpah, menjadi kaya serta merta.

mahu kita mengingati pada mereka yang melompat, tiadalah kita mahu tahu kita kerana agama dan bangsa atau kerana laba, ingatlah pada alam baqa. tiada ia memberi 'advantage' pada sesiapa, PKR ka atau umno ka, tiada ia terpujuk pada yang bermuka-muka, apatah lagi mengkhianati amanat rakyat jelata.

adapun musim lompat ini kata pendita tiada ia berakhir sekelip mata, mungkin membawa ke beberapa hari lama, mungkin juga memakan purnama. maka bersiaplah para patinggi dan penggawa di atas sana, mari melihat wakil jelata, takut-takut sudah ada yang merencana, membakar layar menukar bedar.

Thursday, March 4, 2010

lompat

tahaluf siyasi berlaku aktif semasa di kampus. Kumpulan pelajar cina yang sedikit radikal dengan kelangsungan bahasa dan budaya mereka, kelompok pelajar india yang berjuang mewakili kaum india marhaen, atau dengan kumpulan pelajar melayu yang menolak politik tapi cintakan Islam. setiap dari segmen mahasiswa ini mempunyai citra dan keragaman prinsip dan dasar yang cukup varian sehingga memerlukan kemahiran komunikasi yang tinggi untuk didampingi.

majoriti pelajar melayu pula memilih sama ada berada pada sisi nasionalis pro kerajaan atau memberikan sokongan kepada gerakan Islam yang dilabel pro-pembangkang (baca PAS). namun ada segelintir yang memilih jalur sosialis atau liberal sebagai dasar perjuangan. walaupun agak kecil bilangannga namun suara mereka sering kelihatan vokal dan matang dalam mewacanakan isu kampus dan nasional.

berkesempatan 'bergelandangan' bersama sekumpulan pelajar ni bangsar utama, menjadikan saya tertarik dengan gerakan merakyat mereka. mereka cukup komited dalam merakyatkan perjuangan, seperti memberi tuisyen percuma kepada pelajar-pelajar dari keluarga miskin di sekitar kotaraya, atau terlibat langsung dengan grup foods not boms membahagi makanan kepada rakyat lapar. Ada yang terus sehingga kini bersama arus politik seperti jonah dan black (amin iskandar ), tidak kurang yang terus hilang.

anak-anak muda ini yang kental melalui evolusi perjuangan dan mehnah seharusnya diberi peluang lebih mewakili parti siasah pada pilihanraya akan datang. setidak-tidaknya kesetiaan kepada perjuangan mereka sudah teruji jika mahu dibandingkan sesetengah calon mee celup.

sedih dan hiba melihat kelaku MP-MP yang melompat wewenang setelah segala peluh keringat penyokong terperas untuk menghantar mereka ke parlimen. celaka dan durjana mereka yang mengkhianati rakyat. maka pimpinan harus lebih berhati-hati memilih calon untuk bertanding. jangan terpilih yang telunjuk lurus kelingking bertaut, enau dalam belukar atau musang berbulu ayam.

Tuesday, March 2, 2010

doa kudus aku

Ketika hendak menaiki pesawat, aku biasakan diri dengan membaca doa perjalanan , agar sentiasa selamat dan tenteram. selain itu doa aku, agar tidak dalam seumur hidup aku menaiki pesawat ini. Amin.


Thursday, February 18, 2010

Ribut di hati mahasiswa

'ribut di cangkir".

Seorang cendikiawan menanggapi saya ketika berada di kampus tatkala mengadu tentang suara mahasiswa yang dipinggirkan oleh penguasa universiti . mulanya saya enggan bersetuju dengan pandangan beliau, saya kemukakan hujah-hujah dari lidah Soekarno dan Bung Hatta, Prof. Diraja Ungku Aziz, malahan menyeret sama paradigma Mao Tze Dong dan Che Guevara terhadap kuasa dari kampus.

Saya juga meneguhkan bicara dengan mengatakan kerajaan autokrasi Soeharto dikebumikan bersama-sama jasad sahabat Trisakti yang menumpahkan darah demi memberikan sebuah negara baru kepada rakyat Indonesia. Malahan adalah mimpi melihat China yang lebih terbuka kepada dunia kalau bukan darah para mahasiswa mengalir hanyir di Medan Tiananmen. Tidak juga penjara menjamah mesra tubuh-tubuh pemimpin mahasiswa yang diangkut dengan kuasa ISA kalau kuasa yang ada pada mahasiswa tidak menggentarkan pemerintah. Manakan mungkin AUKU digubal bagi membisukan dan merencatkan mahasiswa kalau kuasa mereka tidak menggugah.

Ahh..paham sahajalah ketika itu, darah muda cepat meluap dan api perjuangan sedang membakar tinggi melangit. Jangankan autokrat universiti, malahan pimpinan negara dimaki, diherdik, dipulau di jalanan. Cendikiawan itu kemudian tersenyum dan menepuk bahuku.

"Anakku..aku rasakan api dalam dirimu. Tapi apakah jasadmu ini, sudah kau siapkan sepasang kafan untuk dipakaikan jika perjuanganmu menuntut nyawamu? Apakah jari-jarimu ini sudah bersedia merangkul mesra jeriji-jeriji besi penjara yang dingin? apakah matamu itu sudah kau persiapkan tatkala gas-gas pemedih tanpa mata menerobos ganas ke dalamnya? "
bicara cendikiwan itu lembut dalam senyum yang tidak pudar dari bibirnya, tapi cukup untuk membuat aku bungkam tanpa suara.

Dia berlalu, kemudian menoleh " anakku, ribut di cangkir, kalau tumpah di warung yang sesak, bisa sahaja menjadi kecoh dan hingar.." ahhh..dia memang pandai berbicara.

Wednesday, February 10, 2010

Artikel ini saya hantar ke Sabahkini.net sebagai respon kepada artikel sindiket .


Sebagai seorang anak Sandakan, membaca artikel tuan sehingga ke penghujung seolah-olah menghiris rasa dan emosi saya. Sukar untuk menerima kenyataan bahawa kemesuman pelacuran kanak-kanak menjadikan Sandakan sebagai dunianya dan tanpa siapa yang bangkit untuk menamatkan episod ngeri ini.

Lebih mendukacitakan apabila pihak-pihak yang sepatutnya membela anak-anak ini terlibat sama menghancurkan masa hadapan anak-anak yang mungkin sebaya dengan anak kandung mereka. Melalui artikel tuan, dapat disimpulkan bahawa kakitangan kerajaan, termasuklah Jabatan Kebajikan Masyarakat yang bertanggungjawab membawa keluar anak-anak ini dari kancah kehinaan, menambah luka yang semakin sukar diubati.

Peranan sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang sewajarnya menjadi pembela kepada anak-anak murid mereka, bertindak cuba menutupi permasalahan ini. Apakah mereka lupa bahawa mereka sedang menghancurkan masa hadapan bangsa dan negeri? Apakah dengan menutupi kemesuman industri pelacuran di kalangan murid-murid sekolah akan menyelesaikan masalah. Apakah mereka lupa atau pura-pura lupa yang sedang dilacur itu adalah anak-anak yang perlu kepada pembelaan bukannya cuba berselindung atas nama kepentingan menjaga nama baik sekolah.

Kita juga sewajarnya bertanya, apakah Kementerian Pelajaran atau Jabatan Pendidikan Negeri juga terlibat membisukan barah yang sedang merebak ini? Sebagai agensi kerajaan yang bertanggungjawab penuh di atas kebajikan murid-murid, sewajarnya permasalahan ini menjadi agenda utama untuk diperjuangkan. Cukuplah sekadar tidak ada satu sekolahpun dari Sabah yang tersenarai sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi, jangan sampai sekolah-sekolah di Sabah dikenali sebagai sarang mengeluarkan pelacur amatur.

Soalan juga harus ditujukan kepada pihak berkuasa Polis, apakah mereka tidak mempunyai maklumat mengenai sindiket-sindiket seperti ini sehinggakan ia terus dibiarkan tanpa ada tindakan serius. Perbuatan melacurkan diri bukan sahaja menyentuh persoalan moral, bahkan merupakan kesalahan serius di bawah Penal Code apatah lagi yang terlibat adalah mereka dibawah umur. Mungkinkah kenaikan gaji anggota Polis akan memberikan sedikit motivasi kepada anggotanya untuk membanteras permasalahan ini. Kami rakyat Sabah sedang memerhati dengan penuh minat.

Hancur dan luluh perasaan bila melihat anak-anak belasan tahun digendong oleh pemangsa-pemangsa yang berhati haiwan. Tatkala anak-anak ini lemas dalam kemewahan dan nafsu, apakah tidak terdetik di hati kita, rakyat Sabah, untuk membela masa depan yang sedang dihenyak lunyai ini?

Kita akur masalah ini telah mengakar dan tidak dapat diselesaikan dalam tempoh yang singkat. Walaubagaimanapun semua pihak haruslah meletakkan isu ini sebagai keutamaan. Kita tidak mahu melihat masa depan negeri terus kelam dan suram. Apakah kita mahu mewariskan sebuah tanah yang penuh dengan noda dan dosa untuk generasi masa hadapan? Jangan sampai nanti anak-anak kita tidak akan mengejutkan kita dari kubur kerana kegagalan kita menjadi pembela buat mereka?

Akhir sekali, marilah sama-sama kita kembali kepada jalan agama, kerana agamalah satu-satunya jalan penyelesaian yang mutlak kepada permasalahan moral dan sosial. Sama-samalah kita berdoa agar episod gelap ini akan berlalu, agar terbina sebuah negeri Sabah yang lebih bermaruah dan maju jaya.

Haris Bin Alimudin
Peguambela & Peguamcara
Ipoh
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS
KAwasan Gopeng, Perak

Tuesday, February 2, 2010

Siasat Kenyataan Abdullah Abdul Karim

Kenyataan media ini adalah atas kapasiti peribadi saya dan tidak mencerminkan pendirian DPPK Gopeng secara keseluruhan. Ramai yang menghentam, menempelak tidak kurang yang menuduh yang tidak baik, tapi kenyataan ini tidak akan saya tarik balik. sekian.


Kenyataan Saudara Abdullah Abdul Karim, Exco Dewan Pemuda PAS Pusat dan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pahang mengenai keputusan Jawatankuasa Tatatertib PAS mengenakan penggantungan selama 6 bulan kepada YB Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam sebagai mengejutkan dan tidak boleh diterima adalah satu kenyataan yang serius dan harus diambil berat oleh pimpinan PAS.

Saya menyatakan bahawa kenyataan tersebut bukan sahaja menyanggah kredibiliti Ahli Jawatankuasa Tatatertib PAS, malahan secara langsung menyentuh kewibaan proses pemilihan ahli-ahli Jawatankuasa tersebut oleh PAS Pusat dan seharusnya menerima respon segera oleh PAS Pusat.

Saya juga menyatakan bahawa satu siasatan segera harus diambil bagi menyiasat dakwaan beliau dan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan kepada hasil siasatan. Saya juga mengharapkan agar siasatan tersebut bukan sahaja menjurus kepada kritikan terbuka Abdullah terhadap keputusan Lembaga Tatatertib, tetapi juga kepada kenyataan beliau yang mengatakan laporan beliau yang tidak mendapat perhatian dari Jawatankuasa Tatatertib.

Saya menyatakan bahawa isu besar dalam kenyataan tersebut adalah berkenaan laporan beliau yang gagal mendapat perhatian dari PAS Pusat walaupun kandungan laporan tersebut adalah cukup serius lantaran kandungannya yang menyentuh mengenai konspirasi di kalangan ahli PAS untuk membawa PAS keluar dari Pakatan Rakyat.Jawatankuasa Tatatertib PAS harus menyedari bahawa keadilan bukan hanya perlu dilaksanakan dengan adil, tetapi yang paling penting dilihat adil.

Kenyataan-kenyataan yang mengkritik keputusan Jawatankuasa Tatatertib harus diberi perhatian dan diperhalusi bagi mempastikan keputusan Jawatankuasa Tatatertib tidak dilihat berat sebelah dan tidak adil.

Saya juga merasa hairan kenapa Jawatankuasa Tatatertib PAS beria-ia mengambil tindakan terhadap YB Khalid Samad, pada masa sama gagal untuk menyiasat kenyataan terbuka mantan Naib Presiden PAS, Ustaz Ahmad Awang yang menyatakan bahawa terdapat arahan dari pimpinan atasan untuk mengadakan kerajaan perpaduan dengan umno selepas keputusan pilihanraya 2008 diumumkan. Bukankah kenyataan tersebut lebih serius dari kenyataan YB Khalid tambahan pula dibuat pada muktamar PAS.

Yang benar,

HARIS ALIMUDIN
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kawasan Gopeng

Monday, January 25, 2010

di mana kau

kalau ditakdirkan satu hari nanti ada pelabur datang ke sandakan, membina sebuah empayar beli-belah yang termasyhur, kalaupun tidak menandingi burj dubai, tapi tidak kalah meriah dengan klcc atau paling kurang 1borneo, pada masa menyambut 'kemajuan' itu, bolehkah kau bertanya sedikit pada diri kau, di mana aku?

dari berita-berita yang aku dengar, ada beberapa buah institut pengajian tinggi bukan kerajaan yang akan dibina di sandakan. satu namanya melayu, satu lagi bukan, tapi yang pasti kedua-duanya bukan milik melayu. aku bukan rasis, tapi aku prihatin akan nasib bangsa bumiputera (sampai sekarang aku masih keliru apakah status bangsa bugis itu bumiputera atau tidak di sabah) apabila ia terbina kelak, apakah ada ruang 'istimewa' buang orang yang berbangsa seperti kau dan aku.

aku bukan rasis, cuma bila berjalan dari lorong ke lorong di bandar sandakan, kadang-kadang aku jemu mencari kedai yang pemiliknya adalah bumiputera. gadis-gadis yang menyapa mesra di pintu-pintu kedai, hampir semua berkulit seperti aku dan kau, tapi sayangnya mereka berdiri dibawah papan tanda yang mereka sendiri mungkin tidak tahu membaca maksudnya. walaupun akhirnya aku bertemu dengan dicari, kegembiraan segera menghilang tatkala menyedari lorong-lorong itu sudah di penghujungnya. ini membuatkan aku berfikir, apakah kemajuan yang menghalau bangsaku ke sudut ini?

aku bukan rasis, cuma aku gelisah melihat anak bangsaku terus leka menyanyikan lagu-lagu di tembok pinggiran laut. tidak sedikit yang lalok dengan syabu atau dadah, menerawang mencari syurga separa sedar. ada juga yang layu melentok dibuai nafsu serakah berpelukan penuh berahi. ada yang berkata, mereka bebas memilih kejahatan dan kebaikan, dan pilihan itu telah mereka tentukan. tapi bukankah Islam mengajar kita agar menjadi manusia yang menjaga tepi kain saudaranya.

aku bukan rasis atau membenci pembangunan, tapi apalah ada pada bangunan yang tinggi mencakar langit, pusat membeli-belah, hotel atau segala macam pembangunan, jika kau bertanya pada diri kau di mana, kau belum ketemu jawapan yang boleh kau banggakan

Tuesday, January 19, 2010

merempit ke cameron


Hari ahad lepas, buat kali kelima pas gopeng menganjurkan konvoi ke cameron highland. malas nak cerita banyak, ni ada gambar sket untuk korang layan sebagai cenderamata. nak kasi strawberi, dia punya harga pun dah level petrol ron97. gambar-gambar cilok dari blog ajijoi. yang aku ambil, lain kali aku update .

team xpdc tengah pose macam ramai-ramai dekat cameron valley. yang baring tu memang dia punya stail macam tu, buat gambar ic pun sampai nak bertumbuk ngan orang JPN sebab degil nak ambik gambar sambil baring.

budak-budak taman aku memang bab bergambar macam bangla perangai. time orang kasi taklimat tak dengar betul-betul, bila cicior tengah jalan, tau jugak meraung.


boleh konpius gak dorang punya pose ni dengan hujan. mamat pakai cap tu cicior kat kea farm.


marshall konvoi tengah blok stesyen minyak kat ringlet.



bro nahar. "muka mau ganas bai baru dorang kasi kerja marshall. gua tahun-tahun dapat unit beli sayur ja. jatuh la gua punya kufu"



ah soh : lu mau race ka? buat satu pusing gopeng-tapah. break kasi bukak. amcam? lu ada brannn?

Aku : boleh. lu jalan dulu, 4 jam lagi saya kasi kejar. ni silap-silap ni, jumpa kat tol gopeng ja nanti.